HADIAH BERHARGA DARIPADA RASULULLAH ﷺ UNTUK UMMATNYA.

Salehuddin Bin Abu Samah

Abdur Rahman bin Abi Laila rahimahullah berkata, Ka’ab bin ‘Ujrah Radhiayallahu ‘Anhu menemui aku lalu berkata :

“Mahukah kamu jika aku hadiahkan suatu hadiah yang aku mendengarnya daripada Nabi ﷺ”?

Aku menjawab : “Ya, hadiahkanlah kepadaku”.

Lalu dia berkata :

“Kami pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ :

“Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya kami mahu berselawat kepada kalian Ahlul Bait. Sesungguhnya Allah telah mengajarkan kepada kami bagaimana cara untuk menyampaikan salam kepada kalian?”.

Maka Baginda ﷺ bersabda:

“Ucapkanlah :

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ،

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

(Ya Allah berselawatlah kepada Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia.

Ya Allah berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Mulia).

Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari rahimahullah.

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menukilkan dalam kitabnya Fathul Bari :

Abu al-‘Aliyah menyatakan bahawa maksud “selawat Allah kepada Nabi-Nya” ialah pujian Allah untuk Nabi-Nya di hadapan para malaikat-Nya.

Manakala maksud “selawat malaikat” pula ialah doa para malaikat kepada Rasulullah ﷺ.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

1) Perbanyakkanlah berselawat kepada Rasulullah ﷺ khususnya pada malam dan hari Jumaat yang mulia.

2) Peringatkanlah isteri/suami, anak-anak, adik-beradik dan rakan-rakan supaya memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah ﷺ.

3) Mudah-mudahan kita memperolehi ganjaran, kelebihan dan faedah daripada Allah ‘Azza Wa Jalla dengan selawat yang kita ungkapkan kepada insan yang sangat kita kasihi, Nabi Muhammad ﷺ.

Semenyih, Selangor.
Khamis, 28 Rejab 1440H – 4 April 2019.

Salehuddin bin Abu Samah

sumber; Salehuddin Bin Abu Samah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*