Terkini; tiada lagi karpet merah untuk Raudah, sekarang semua karpet berwarna hijau, lalu bagaimana nak tahu kawasan Raudah?

Najmi Farisham

Raudah mengalami sedikit perubahan teknikal setelah karpet di bahagian saf depan Masjid Nabawi ditukar. Untuk makluman semua, pihak pengurusan telah menukarkan karpet lama yang berwarna merah kepada hijau sebelum Ramadan tempoh hari. Ia melibatkan tapak asal Masjid Nabawi yang dulu.

Dahulunya, kita akan diuar-uarkan bahawa kawasan Raudah mudah dicam dengan karpetnya yang berwarna hijau muda. Para jemaah sama ada lelaki mahupun perempuan pun mudah mengesannya saat bersesak-sesak berebut untuk masuk ke dalam.

Namun sekarang, setelah kawasan depan sana ditukarkan kepada hijau juga, ia diselaraskan warnanya termasuklah Raudah. Mudah fahamnya adalah, Raudah tak Raudah, warnanya sama tiada beza dari saf pertama sehinggalah lebih kurang 10 ke 15 saf belakang.

“Oh, maksudnya kawasan Raudah makin luaslah, dah karpet hijaunya dipanjangkan ke belakang?” Bukan begitu, Raudah pada asalnya bukan dikira melalui karpet hijau. Itu cuma inisiatif pihak Masjid Nabawi untuk membezakan kawasan Raudah dengan yang lain. Letaklah karpet hijau sampai ke luar pagar sekalipun, Raudah tetap dengan saiznya yang asal, tidak berubah.

“Jadi macam mana kita nak cam itu Raudah ke tidak?” Begini kawan, ada beberapa cara nak cam kedudukan Raudah tanpa rasa syak wasangka lagi;

1. Nabi SAW khabarkan dalam hadisnya bahawa kedudukan Raudah adalah di antara rumah Baginda SAW bersama Aishah dengan mimbarnya untuk berkhutbah. Oleh itu, kawasan Raudah bermula dari dinding Makam Nabi SAW sehinggalah ke mimbar tempat khatib berkhutbah tiap hari Jumaat.

Makam Nabi SAW terletak di sebelah kiri kita apabila berada di saf depan. Jemaah lelaki mahupun perempuan berpeluang untuk melihatnya. Dindingnya berwarna hitam dengan sedikit ukiran berwarna emas. Biasanya ada petugas masjid berada di sana.

2. Ukuran Raudah adalah 22 meter x 15 meter persegi. Cumanya sudah pastilah kita tiada masa nak ukur kan? Oleh itu, secara mudahnya adalah:

• Panjang: 5 batang tiang bermula dari saf pertama
• Lebar: 6 batang tiang bermula dari dinding Makam Nabi SAW

3. Mukabbariyyah juga boleh dijadikan penanda kerana ianya termasuk dalam kawasan Raudah. Lagipun kedudukannya yang tinggi memudahkan para jemaah untuk melihatnya.

4. Tiang paling akhir penanda Raudah mempunyai corak bunga padanya. Ini juga boleh dijadikan tanda buat jemaah perempuan kerana keterbatasan akibat tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan.

Semoga adanya perubahan ini tidak mematahkan semangat para jemaah semuanya untuk mengambil peluang masuk ke Taman Syurga anugerah Tuhan ke dunia. Diharapkkan dengan tip-tip yang saya sebutkan di atas, mampu membantu kalian semua nanti.

Sumber; Najmi Farisham

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*