Rezeki laksana ibadah haji sipenghafal al-Quran

Buletin Ganu

PENSYARAH Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Alif Zainuddin dan isterinya, Norafiqah Ghazali membuat persiapan terakhir sebelum berangkat untuk menunaikan ibadat haji pada 14 Julai ini. Muhammad Alif Zainuddin, 29, yang menghafal 30 juzuk al-Quran, menerima RM3,600 setahun daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disimpan di Tabung Haji (TH).

Beliau yang bertugas di Jabatan Ilmu Wahyu Islam, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang dekat sini, berkata bayaran itu diterima sebagai imam solat sunat tarawih setiap kali bulan Ramadan.

“Bagi tujuan menunaikan (ibadat) haji tahun ini, saya memerlukan RM25,000 kerana membawa isteri, Norafiqah Ghazali, 26, bersama dan semuanya menggunakan simpanan elaun diterima daripada MUIP.

“Tahun lalu, saya ada membuat rayuan kepada TH untuk menunaikan haji bersama ibu tapi tidak diluluskan dan tahun ini, saya dapat ke sana bersama isteri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. Beliau turut terbabit dalam siri ceramah agama di beberapa surau dan masjid di Pahang serta ibu negara.

“Kami akan bertolak ke Tanah Suci pada 14 Julai ini dan terpaksa meninggalkan dua anak berusia tiga bulan dan tiga tahun bersama ahli keluarga lain di Muadzam Shah, dekat Rompin, sepanjang kami di Makkah. “Saya harap semuanya berjalan lancar sepanjang kami berada di sana dan memperoleh haji mabrur,” katanya.

Sumber; Buletin Ganu