Mengejutkan; Tahap gula teh boba 3 kali ganda jumlah gula dalam 1 tin minuma perasa Cola

.ismaweb.net

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak meminum teh boba yang juga dikenali sebagai ‘bubble tea’ atau ‘boba juice’ atas faktor kesihatan. Pemangku Presiden CAP, Mohidden Abdul Kader berkata, berdasarkan kajian Politeknik Temasek di Singapura, didapati bahawa satu cawan teh boba gula perang 500ml mengandungi kira-kira 92g gula.

Beliau berkata, kandungan gula itu adalah tiga kali ganda jumlah gula yang terdapat dalam satu tin minuman jenama popular berperisa cola 320ml. “Jumlah gula yang paling kurang ditemui adalah 43g dan itu merupakan 1.7 kali lebih gula daripada teh tarik yang memang pun dianggap tidak sihat.

“Bukan sahaja gula yang membimbangkan, terdapat juga pemanis dan perisa tiruan yang merompak nilai nutrisi minuman tersebut. Mutiara tapioka pula adalah tinggi dalam karbohidrat tetapi rendah dalam nutrien seperti serat, protein, vitamin dan mineral,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, amaun harian bagi gula tambahan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Garis Panduan Diet Malaysia adalah kuantiti yang tidak melebihi 50g. “Ini bermaksud apabila kita minum secawan teh boba amaun gula yang terkandung mungkin di antara jumlah maksimum dan dua kali ganda jumlah yang sepatutnya dimakan dalam sehari, ini tidak kira pengambilan gula tambahan daripada makanan dan minuman yang lain.

“Kita sering lupa bahawa tubuh kita boleh memproses karbohidrat kompleks menjadi gula. Beras dan tepung ada dalam senarai makanan tersebut, dan tidak lupa mutiara boba yang mengandungi kanji tapioka. “Dalam kata lain, tahap gula yang tinggi dalam teh boba merupakan berita buruk untuk kesihatan kita kerana ia meningkatkan faktor-faktor risiko penyakit jantung seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan keradangan.

“Sejumlah kanser juga dipengaruhi oleh pemakanan, penukaran berat badan, pengagihan lemak badan bersama aktiviti fizikal,” katanya. Bimbang dengan keadaan itu, Mohidden menggesa pengguna untuk berhenti meminum teh boba untuk kekal sihat. Ini kerana, tegasnya, ia adalah lebih murah untuk mengurangkan pengambilan gula daripada merawat penyakit yang berkaitan dengannya.

“Apa yang paling membimbangkan ialah Malaysia mempunyai kadar obesiti yang lazim sebanyak 13.3 peratus manakala berat badan berlebihan berada pada 38.5 peratus dan keadaan ini telah menelan belanja negara antara RM4.26 bilion dan RM8.53 bilion dalam kos penjagaan kesihatan pada 2016. “Dianggarkan bahawa satu dalam setiap lima orang dewasa di Malaysia akan menjadi gemuk pada tahun 2025,” katanya.

Sumber; ismaweb.net

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*