Ramai yang tertanya-tanya siapa ‘Atok Anas’ selepas peristiwa panas di Melaka baru-baru ni…

 Halimatussaadiah Salleh

Diari Isteri Penguatkuasa Agama # Diari 1

Nekma termotivasi untuk menulis selepas membaca kenyataan akhbar Ketua Menteri Melaka yang dirumuskan oleh seorang YB. Menurutnya penamatan awal kontrak Atok Anas adalah kerana telah ada pengganti yang lebih muda untuk mengisi jawatan yang diisinya sekarang iaitu sebagai KPP Bahagian Penguatkuasa JAIM.

Jawatan yang Atok Anas sandang sejak mula berkhidmat di JAIM pada tahun 1993 sehingga sekarang. Tahun anak kelima kami dilahirkan sehingga kini dah berusia 26 tahun dan dah berkahwin pun. Selepas 26 tahun, akhirnya ada calon yang layak untuk menggantikan Atok Anas. Sebenarnya ada banyak jer bahagian lain di JAIM contohnya bhg dakwah, undang-undang keluarga tetapi Atok Anas kekal di bahagian penguatkuasa selama 26 tahun.

Ertinya nekma telah hidup di sisi seorang penguatkuasa agama selama 26 tahun. Jodoh kami bermula pada tahun 1986, sekembali nekma selepas tamat pengajian di University of Guelph, Canada. Sekembali ke tanahair pada Jun 1986, nekma memohon menyertai sebuah pondok di Kuala Sg Baru untuk menuntut ilmu fardhu ain. Namun hasrat awal untuk mengaji di situ tidak kesampaian kerana nekma dipohon membantu mengajar di pondok Madrasah Darul Falah (MDF) tersebut.

Bermulalah kerjaya nekma sebagai seorang guru dan selanjutnya “dijodohkan” dengan Atok Anas penolong mudir di Madrasah tersebut pada bulan Disember, 1986. Dengan pendapatan sekitar RM200 sebulan, kami tinggal bersama pelajar di asrama pondok tersebut dan menyambung kehidupan berkeluarga dengan menumpang makan makanan yang disediakan di dapur madrasah. Sebab itu sepanjang tinggal di Kuala Sg Baru seingatnya nekma tidak pernah membeli belah di pasar pekan tersebut.

Fasa kedua kehidupan kami bermula apabila Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Tan Seri Rahim Tambi Chik mengadakan MOU dengan pengurusan MDF dan JAIM bersama membantu membangunkan pondok tersebut pada tahun 1992.

Kami suami isteri telah diserapkan secara kontrak dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebagai tenaga pengajar di MDF. Tahun 1993 Atok Anas telah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam (lantikan Secara Kontrak) bawah JAIM sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa mengantikan al Fadhil Ustaz Hj.Sulaiman Daud dengan staf seramai 2 orang (bukan 20 atau 200 yer) untuk menguatkuasakan Agama Islam di bumi Hang Tuah.

Untuk tugas tersebut nekma masih ingat Atok Anas menggunakan handphone Erickson (yang orang kata boleh buat baling anjing tu) dengan nombor 0106671564 yang kemudiannya ditukar kepada 0196671564 (no hotline Melaka). Sejak itu, hiduplah nekma mendengarkan bunyi handphone itu berbunyi seakan burung berkicauan 24/7 setiap hari. Menerima aduan lewat tengah malam sehingga ke pagi itu biasa. Cuma masalahnya, Atok Anas mewajibkan dirinya untuk merespon pada panggilan-panggilan tersebut tanpa jemu kerana menurutnya itu sebahagian daripada tugasnya.

Sumber; Halimatussaadiah Salleh

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*