Imam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tak wirid lepas solat?

Najmi Farisham

Kalian yang pertama kali datang ke Mekah dan Madinah, tak usahlah berasa pelik apabila tiada bacaan wirid tiap kali selepas solat fardu di sini. Ya, memang begitulah cara mereka di sini. Lepas bagi saja salam kanan dan kiri, semua pakat buat hal masing-masing. “Oh mudahnya! Kita pun bolehlah ikut juga kan?”

Sebenarnya kawan, mereka di sini bukanlah tak berwirid langsung selepas solat. Mereka tetap baca zikir-zikir yang telah diajarkan oleh Nabi SAW, namun dengan suara yang perlahan. Bukan macam di kampung kita, siap guna pembesar suara lagi. Sampai ke kampung sebelah boleh dengar. Kadang-kadang orang nak solat sunat atau masbuq pun rasa terganggu.

Cubalah perhatikan para jemaah yang ada di kiri dan kanan kita. Ramai antara mereka yang masih tetap di tempat solat, berzikir dan berdoa seperti biasa. Sesekali intailah jari-jemari mereka yang sedang khusyuk menghitung bacaan tasbih, tahmid dan takbir.

Bezanya mereka tak buat secara berjemaah mahupun suara yang lantang. Semuanya dilakukan sendiri tanpa perlukan bantuan orang lain. Ada sesetengah jemaah yang tak faham akan konsep ini, terus menuduh yang bukan-bukan terhadap Negeri Haramain. Kemudian bawa balik cerita tak betul kepada kenalan di tanah air. Tak moleklah begitu.

Ada juga yang tersalah faham. Mereka ingatkan di sini memang tiada wirid selepas solat, doa-doa pun tiada. Lalu usai saja beri salam kanan dan kiri, terus bangun berjalan keluar daripada masjid. Duk buat begitu sentiasa sehinggalah dibawa tabiat ini pulang ke kampung.

“Eh Mat, aku tengok kau semenjak balik dari umrah ni tak pernah wirid dan doa pun lepas sembahyang,” tegur seorang ahli jemaah masjid. “Alah, orang dekat Mekah Madinah sana pun tak wirid dan doa. Kita tirulah mereka,” jawab kita yang tak faham akan situasi sebenar.

Maka timbullah satu fitnah terhadap Negeri Haramain dan diri sendiri. Fitnah yang sebenarnya bukanlah merugikan orang lain, bahkan diri kita juga. Kawan, walaupun di sini bukanlah seperti di masjid kampung kita buat, namun teruskanlah amalan berzikir dan berdoa itu. Buat sendiri-sendiri. Tak perlu dah kita duk harapkan imam mengetuai bacaannya. Kita sendiri dah mampu untuk buatnya sendiri.

Tak susah pun. Hanya istighfar, minta ampun daripada Tuhan. Baca ayat Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Kemudian lanjutkan dengan zikir tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali. Itu paling ringkaslah. Lepas itu kalau nak berdoa, tadahlah tangan mengadu kepada-Nya.

“Habis selalu duk dengar orang kata Mekah Madinah ini tak wirid doa selepas solat tu, tak betullah ya?” Sangat tak betul. Seperti yang saya ceritakan tadi, kami dekat sini masih lagi berzikir selepas solat. Yang bezanya kita tak buat secara berjemaah. Ramai ja yang masih tetap papan pungungnya di tempat solat masing-masing, tak berganjak. Wirid, doa dan solat sunat.

Pernah sekali lepas solat di Masjid Nabawi, ada jemaah yang terus bangun nak menerkam ke arah Imam Masjid Nabawi, Syeikh Ali al-Huzaifi dan Raudah. Syeikh serta merta tegur guna mikrofon. Dia suruh kita tenang-tenang, baca zikir dulu sebelum beriya nak buat benda lain.

Ini imam paling senior di Masjid Nabawi tegur, kawan. Nampak tak yang mereka di sini pun diajar untuk kekal dan terus berwirid dahulu selepas solat? “Tapi ada juga yang lepas bagi salam, terus bangun keluar masjid.” Benda begitu tak pelik, kawan. Hatta masjid kampung kita yang berzikir guna pembesar suara itu pun ramai juga yang terus bangun beredar.

Soal zikir dan doa ini, bukanlah semestinya dengan imam. Usai saja imam beri salam kanan dan kiri masa solat tu, kita dah tak ada apa-apa hubungan dah dengan imam. Dia buat urusan dia, kita buat urusan kita. Yang terus bangun keluar itu, mungkin dia ada urusan mustahak yang lain. Jadi bolehlah dia beredar keluar. Solatnya tadi sudah sah walaupun tak berdoa dengan imam. Wirid selepas solat tadi, masih boleh dibuat ketika berjalan atau dalam kereta. Benda ini sangat fleksibel.

Nota: Gambar ini saya tangkap sekitar 5 minit usai solat isyak di Masjid Nabawi. Semua masih tetap di tempat solat, berzikir dan berdoa. Ada juga yang dah bangun solat sunat.

Sumber; Najmi Farisham

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*