Jangan pisahkan politik daripada agama, dan jangan meng’agama’kan semua persoalan politik

indahnyaislam.my

Ini kerana kedua-dua pendekatan ini adalah ekstr1m. Begitu juga pandangan yang mengatakan bahawa semua persoalan politik adalah hal furu’, sedang pihak yang lain mengatakan bahawa politik adalah perkara asasi (usul) dalam agama.

Sikap yang betul adalah pertengahan, dan Islam adalah agama pertengahan, politik sebagai disiplin ilmu adalah cabang, di dalam masa yang sama ada perkara asasi dalam politik yang bersangkut masalah akidah termasuk dalam ranah usul.

Tidak semua isu politik adalah furu’, sebahagian isu politik berkaitan dengan hal akidah. Kerana itu ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah memasukkan bab imamah (kepimpinan) dalam masalah akidah, kerana persoalan sama ada imam wajib diangkat ataupun tidak, apakah ia ditentukan oleh nas atau melalui syura, apakah imam boleh dimakzulkan dan bilakah pemakzulannya dibenarkan. Ia perkara2 yang dinyatakan oleh Qur’an dan Sunnah, bukan masalah ijtihadi oleh kerananya bukan furu’.

Prinsip-prinsip politik seperti kedaulatan Shari’ah, keadilan, pertanggungjawaban pemimpin bukan persoalan furu’ tetapi persoalan usul, ia berkaitan Aqidah, pandangan alam, atau lebih khusus lagi berkaitan dengan bagaimana menempatkan diri kita pada tempatnya, bukan sebagai dewa atau anak Tuhan, melainkan sebagai khalifah Allah di muka bumi yang bertanggungjawab melaksanakan segala perintah dan laranganNya.

Namun begitu politik sebagai disiplin ilmu adalah furu’, dan usulnya adalah Aqidah. Sebagaimana ekonomi adalah cabang ilmu dan falsafah (dalam konteks Barat), Aqidah, ilmu Kalam dan worldview (dalam konteks Islam), adalah usulnya.

Dalam ilmu politik dibincangkan apakah syarat-syarat menjadi imam atau pemimpin, berapa lama, apakah kewajipan pemimpin, bagaimana syura diaplikasikan dalam pemilihan pemimpin, apakah sistem politik yang terbaik untuk menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, semua ini adalah perkara ijtihadiyyah, di mana ijtihad ulama’ diperlukan dan boleh berubah mengikut konteks, contohnya ijtihad ulama yang menerima sistem monarki dengan syarat prinsip2 kedaulatan syari’ah, keadilan dan pertanggungjawaban dipelihara.

Dengan menganggap persoalan politik sebagai usul dalam agama Syi’ah juga telah meng’agama’kan politik. Pandangan Sheikh Ibrahim Laqqani perlu difahami dalam konteks menegaskan perbezaan antara Ahl al-Sunnah dengan Syi’ah.

Apabila beliau mengatakan bahawa imamah bukan rukun agama, ia secara halus menyanggah pandangan ulama Syi’ah yang menganggap imamah adalah rukun agama. Dan ini tidak bermakna segala hal berkaitan politik adalah furu’ dan bersifat ijtihadiyyah. Perhatikan juga perkara yang dibincangkan di situ adalah pengangkatan imam secara khusus.

Hakikatnya dalam politik ada perkara yang tetap dan tidak berubah (thawabit) dan ada perkara yang berubah (mutaghayyirat). Ini menunjukkan hubungan yang erat antara agama dengan politik yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali sebagai taw’aman (saudara kembar).

Sebahagian orang Islam menjadikan politik sebagai agama dan sebahagian yang lain memutuskan hubungan agama dengan politik, kedua-dua pendekatan ini adalah melampau, ekstr1m yang perlu dijauhi. Pendekatan pertama telah menatijahkan kelompok khawarij, yang cenderung mengkafirkan semua orang yang berbeza pandangan politik dengan mereka, pendekatan kedua adalah pendekatan golongan sekularis yang memutuskan hubungan agama dengan politik.

Sekularisme tidak boleh dihadkan pada pemisahan agama daripada politik, sekularisme jauh lebih berbahaya daripada itu ia adalah falsafah dan cara berfikir yang bukan hanya bersangkut dengan bidang politik tetapi lebih penting lagi adalah berhubung kait dengan persoalan ontologi, epistemologi, aksiologi, metafizik atau worldview.

Nota kaki: untuk memahami dengan lebih mendalam ilmu politik Islam boleh lah datang ke CASIS dan daftar kursus Islamic Political Thought and Institutions yang saya ajar, juga program WISE tentang pandangan alam Islam vis-a-vis sekular.

Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A Harris
Pengarah CASIS UTM

Kredit link; indahnyaislam.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*