Hasan, pemuda Huffaz yang ‘HANYUT’, tersentap mendengar nasihat Jutawan Australia

Malam tadi Allah beri saya kesempatan makan malam bersama insan-insan yang mengajar saya erti keyakinan terhadap Allah. Saya berbesar hati menghadiri undangan makan malam saudara Hasan, Ali dan Yusuf selepas bergegas pulang dari bandar Melbourne.

Mereka ini bukan melayu, namun Allah satukan kami atas dasar agama-Nya yang satu. Yusuf membesar di Arab Saudi, dan kedua yang lain berasal dari Lubnan, namun setelah beberapa penghijrahan, mereka kini menetap di sini bumi Australia.

Kasihan dan kelakar juga melihat Ali dan Hasan berusaha bertutur dengan bahasa arab fusha kerana meraikan saya yang kurang memahami dialek pekat Lubnan mereka. Dialek Yusuf sahaja yang mudah saya fahami kerana beliau bertutur dengan dialek Mekah yang saya lebih biasa.

Mereka Masya Allah banyak membantu urusan dakwah di negara Kangaroo ini. Pelbagai pengalaman berharga yang mereka kongsikan cukup mengusik hati dan fikiran ini, betapa kita beruntung memiliki nikmat Islam, namun kita kehilangan nilai kehidupan kerana tidak menggenggam ajarannya.

Antara yang cukup mengusik kalbu saya ialah tatkala mereka berkongsi tentang erti keyakinan yang berbeza dari sekadar ilmu pengetahuan. Ramai yang tahu ganjaran atau hukum hakam sesetengah ajaran agama, tetapi hakikatnya kurang yakin. Justeru kita tidak gagah dan tidak konsisten melakukannya.

Hasan (pemuda berbaju putih sebelah saya) bercerita dahulunya dia pernah mendalami ilmu agama di bawah pantauan ayahnya yang sangat prihatin dengan pendidikan agama keluarganya. Kesemua 9 adik beradiknya merupakan hafiz al-Quran dan sebahagiannya kini sudah menjadi pendakwah dan ilmuwan di tempat masing-masing.

Namun Hasan mula ‘melepaskan’ sebahagian ilmu dan amalan agamanya akibat pengaruh negat1f persekitaran tatkala keluar merantau ke luar negara seperti Kuwait, kemudian ke Australia. Dengan jiwa muda yang lebih cenderung berlibur dan mencari harta dunia, beliau mengaku hanyut dan lupa akan hampir kesemua hafalan al-Qurannya.

Sehinggalah suatu hari ketika beliau di Sydney, beliau ditolak menjadi imam di salah sebuah masjid. Selepas selesai solat beliau disapa seorang pakcik yang barangkali mendengarnya membaca al-Quran dengan baik.
Pakcik tersebut rupanya dikatakan merupakan antara orang yang terkaya dan paling berpengaruh di Sydney.

Ujarnya kepada Hasan: “Seseorang itu akan sentiasa memiliki nilai kehidupan selagi hidupnya dimiliki agamanya. Bukanlah harta itu yang menaikkan harga diri dan kehidupan, tetapi ajaran agama”.

Sambungnya lagi: “Aku memiliki pelbagai dunia yang manusia impikan, baik kuasa, wang, kereta mewah, dan rumah agam. Manusia sentiasa mengejarku untuk buruan dunia. Untuk bertemu denganku sahaja manusia sanggup membayar sejumlah wang. Namun aku kehilangan harga diri dan nilai hidup kerana aku kehilangan agamaku ketika itu”.

Hasan memberitahu, ungkapan dan nasihat pakcik tersebut cukup menusuk kalbunya. Katanya walaupun bertahun-tahun beliau belajar ilmu agama dahulu, namun tiada yang benar-benar menyentapnya seperti ‘tikaman’ pakcik tersebut seakan mengetahui situasi dirinya yang pernah menggenggam agama namun semakin terlepas darinya kerana hanyut dengan dunia.

Hasan menangis menginsafi dirinya yang banyak melupakan ilmu yang pernah diberikan Tuhan. Betapa beliau telah mensia-siakan kalam al-Rahman yang telah bersusah payah dihafalnya sebelum ini. Beliau berazam untuk mengulang serta menghafal kembali Qurannya yang telah ‘hilang’ serta menjadi muslim yang soleh di perantauan.

Teringat seseorang pernah menasihatkan dirinya: “Tanda seorang mukmin sejati itu terletak pada solat fajarnya. Mereka yang tidak mampu menjaganya secara jemaah di masjid, bukanlah mukmin sejati”. Sejak itu beliau tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah di surau atau masjid semampunya.

Sahabatnya Ali (yang duduk di hadapan beliau) juga sama sepertinya. Selepas berubah mendapat hidayah, beliau pasti akan bangkit menunaikan subuh di rumah Allah walaupun hanya sempat tidur sejam sebelum subuh. Kata mereka, selepas itu kehidupan mereka berubah ketara dan rezeki mereka datang berganda tanpa disangka.

Allah mempermudahkan banyak urusan hidup mereka yang sebelumnya tidak menentu bagai dilanda badai.
Mereka merasai sendiri apa yang telah dijanjikan Allah berbanding sebelum ini yang hanya sekadar mengetahui.
Sudah tentu sekadar pengetahuan itu tidak sama dengan pengalaman.

Tegas mereka, walaupun mereka tidur pukul 4 pagi sekalipun, mereka pasti gagahkan diri bangkit pukul 5 pagi untuk ke masjid walau sesejuk atau seburuk mana sekalipun cuaca, atau walau bagaimana sekalipun suasana tanpa gagal. Allahu akbar!

Saya terdiam seketika memikirkan kelemahan diri yang sering leka dan sering mencari-cari alasan untuk melemahkan diri dari melangkah subuh di waktu yang Nabi SAW doakan keberkatan padanya.
Baru penat sedikit, baru tidur lewat sedikit sebab kerja atau berjimba, sudah lembik untuk ke masjid pagi hari.
Mengejar waktu kerja atau waktu mesyuarat lebih diutamakan dari waktu solat.

  • Kenapa kita lemah??
  • Kerana keyakinan yang lemah!
  • Kerana iman yang lemah!

Cuba bayangkan, andai setiap subuh kita ke masjid, imam beri jemaah saf pertama hadiah RM satu juta atau seratus ringgit sekalipun, pasti kita tidak akan terlepas dari subuh berjemaah, dan pasti penuh masjid melimpah-limpah setiap pagi!

Kita sanggup dan gagah kerana kita nampak dan kita mampu merasai sendiri habuan tersebut sehingga menambah keyakinan ‘iman’ kita pada ganjaran dunia tersebut. Sayang sekali, mengapa tidak pada ganjaran yang Allah telah janjikan??

أَثْقَلَ صَلاةٍ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلاةُ الْعِشَاءِ وَصَلاةُ الْفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا
“Solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan solat Fajar Subuh. Seandainya mereka mengetahui apa (ganjaran besar menanti) padanya, nescaya akan mendatanginya jua walau dalam keadaan merangkak sekalipun” [riwayat al-Bukhari & Muslim].

Kerana hakikatnya kita belum benar-benar beriman pada janji tuhan dengan penuh keyakinan! Moga Allah ampun dan baiki kita semua.

Sumber; Kamilin Jamilin – Seni Hadith

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*