Mereka tak kejar ranking “Manusia Terkaya di Malaysia” tetapi “Manusia Terkaya di Akhirat”

Ketika di Kelantan semalam, Allah mempertemukan saya dengan beberapa insan hebat seperti Datuk Wan Arif, pemilik Ain Medicare yang membekalkan ubat dan peralatan kesihatan ke seluruh negara dan luar negara, selain beberapa perniagaan lain yang tidak terfikir oleh kita.

Beliau merupakan antara penyumbang besar zakat di beberapa buah negeri dan banyak menggunakan rezekinya untuk berkhidmat pada Islam dan umatnya. Masjid ar-Rahman Pulau Gajah yang besar dan sangat indah dengan pelbagai ukiran klasik itu dibina oleh beliau, selain beberapa masjid lain di beberapa negara minoriti Islam luar.

Saya juga sempat bertemu dengan Abe Min, pengasas Summit Taylor yang merupakan usahawan jahit baju yang terkenal di Kelantan. Alhamdulillah beliau sudi menjahitkan dua baju baru untuk saya pakai semasa berceramah atau berkuliah.

Sempat juga bertemu Dato’ Khairul Othman, empunya syarikat automotif Mayazia yang terkenal di Kelantan. Terima kasih atas kesudian beliau belanja makan. Begitu juga abang Azam, seorang usahawan besar perhutanan yang tidak pernah melupakan saya dengan Musang Kingnya jika saya singgah ke Kelantan.

Kelantan banyak melahirkan ramai usahawan muslim berjaya. Mereka semua ahli perniagaan hebat yang banyak menyumbang untuk agama dan dakwah. Persamaan mereka semua ialah sangat gigih, sangat ramah, sangat merendah diri, dan pandai berniaga dengan Allah dan manusia. Saya ingat itulah resipi kejayaan mereka yang perlu dicontohi usahawan muslim lain.

Saya tidak setuju dengan kenyataan pukal “melayu malas”, kerana ramai sahaja yang berjaya dan gigih bekerja siang malam termasuk hari cuti mengorbankan kualiti kehidupan demi mencari sesuap rezeki walaupun tidak kaya harta. Saya juga kurang bersetuju jika orang Islam di negara ini dikatakan kurang memberi sumbangan ekonomi, kerana hakikatnya ramai sahaja yang menyumbang, khususnya untuk agama dan masyarakat.

Mereka ini tidak mengejar ranking “Manusia Terkaya di Malaysia” yang boleh dinilai dengan pemilikan harta, kerana mengutamakan ranking “Manusia Terkaya di Akhirat” melalui sumbangan dan perkongsian harta dengan umat. Mereka ini tidak heboh dengan aset mereka dan hidup serba sederhana seperti marhaen biasa.

Hakikatnya kita mampu mewujudkan lebih ramai usahawan dunia akhirat seperti mereka sebagaimana firman Allah:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka saling menjadi penolong sesama mereka” [al-Tawbah: 71].

Buat usahawan muslim di luar sana yang ingin berjaya, perbaikilah hubungan kita dengan Allah, lebihkan senyuman yang memikat hati, sulamkan diri dengan komunikasi dan interaksi, tingkatkan kualiti, dan banyakkan menyumbang serta bakti.

Berimanlah dengan janji Allah:

وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَىۡءٍ۬ فَهُوَ يُخۡلِفُهُۖ ۥ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٲزِقِينَ
“Apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah pasti akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki!” [Saba’: 39]

Sumber; 

Kamilin Jamilin – Seni Hadith

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*