Subhanallah, Sering Mimpi Baca Quran Dorong Pemuda Cina Lafaz Syahadah

Kerap bermimpi mendengar bacaan al-Quran selain diri sendiri mengaji mendorong Woo Sheng Xiang atau nama Islamnya, Ahmad Fauzan Woo Abdullah memeluk Islam sejak lebih sebulan lalu Lebih mengharukan, keputusan diambil pemuda berusia 19 tahun dari Kampung Tiruk, Kuala Terengganu itu dibuat ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wab@k Cov1d-19, pada 24 Mac lalu.

Dia yang lebih mesra dipanggil Mad berkata, kali pertama bermimpi mendengar suara mengaji semasa berumur 16 tahun ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu.

Menurutnya, pada malam itu, dia dikejutkan dengan mimpi ada suara membaca ayat suci al-Quran dan mimpi sama kembali berulang selama hampir dua minggu berturut-turut. “Selepas dua bulan berlalu, mimpi sama datang kembali, tapi kali ini berbeza iaitu saya sendiri yang membaca al-Quran dan tempohnya sama iaitu hampir dua minggu berturut-turut.

Selepas mimpi kali kedua ini, saya mula berfikir kenapa dipilih untuk diperdengarkan bacaan al-Quran dan saya cuba untuk menceritakan kepada rakan, namun perasaan malu mengh@ntui diri.

Pada masa sama, saya mengkaji agama Islam termasuk daripada segi kehidupan, pemakanan dan pergaulan. Selepas hampir empat tahun berlalu, saya mula membuka cerita kepada rakan karib, Fahmi Othman dan meluahkan hasrat memeluk Islam.

“Keesokannya Fahmi bersama bapanya dan bapa saya pergi ke Pejabat Agama Daerah Marang untuk mengucap dua kalimah syahadah dan dengan sekali lafaz, saya berjaya memeluk Islam,” katanya yang pernah menyarung jersi pasukan kelab, Terengganu City Football Club (TCFC) sebagai penyerang, dua musim lalu.

Menurutnya, selepas selesai mengucap, dia hampir menangis kerana begitu terharu dan sebak serta tidak menyangka diterima sebagai umat Islam. Katanya, ketika itu hatinya terasa amat tenang dan bersyukur diberi hidayah yang dianggap rahmat menjelang Ramadan dan ketika tempoh PKP.

Malah, anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui bapa serta ahli keluarganya tidak menghalang, malah menyokong tindakannya memeluk Islam. Mengenai puasa pada tahun ini, Mad yang kini menjadi jurulatih juruselam di Pulau Redang, berkata dua tidak menghadapi masalah untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu.

“Saya tidak berdepan masalah berpuasa walaupun baharu masuk Islam kerana sebelum ini sudah kerap kali menjalani ibadah itu sejak di Tingkatan Satu. “Tambahan pula, saya mempunyai ramai kawan Melayu, pernah satu tahun saya berpuasa penuh selama sebulan, oleh sebab itu saya tidak menghadapi masalah untuk berpuasa,” katanya yang turut mendengar ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dan Ebit Lew dalam YouTube sejak beberapa tahun lalu.

Kredit; Amie Syahmi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*