Alhamdulillah,Majlis Serah Terima Tugas SS Mufti WP baru dengan Menteri Agama selesai

Alhamdulillah, pada pagi ini selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, saya menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Luqman bin Tuan Guru Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baharu dilantik. Majlis serah terima tugas berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah. ⁣

6 tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, memberi saya pengalaman baharu yang amat bermakna. Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang 6 tahun sebelum ini. ⁣

Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin. Saya amat yakin, Sahibus Samahah Dr. Luqman mampu untuk memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan. ⁣

Sekalung tahniah saya ucapkan. Kepada Sahibus Samahah Dr, siru ‘ala barakatillah.

Berikut adalah biodata ringkas Tuan SS Mufti WP yang baru…

Dr Luqman bin Haji Abdullah dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

Pendidikan formal beliau ialah di sekolah kebangsaan lemal, pasir mas (1976-1980), sekolah menengah ugama (Arabiah), pasir mas 1981-1986), pra akademi islam universiti Malaya nilam puri (1987-1989) dan peringkat sarjana muda di fakulti syariah, akademi islam universiti Malaya (1989-1993). Pernah mengikuti pengajian undang undang perbandingan di UIA (1994-1995).

Di samping itu beliau juga mengikuti pengajian tidak formal secara tradisional di pondok lubok tapah di bawah bimbingan ayahanda beliau sendiri Al Marhum Tuan Guru Haji Abdullah dari peringkat bawah sehinggalah peringkat tinggi dalam bidang bidang seperti nahu, saraf, fiqh, usuluddin, tafsir, hadis, mantiq dan balaghah.

Pernah berada di united Kingdom selama 4 tahun untuk pengajian peringkat PhD dan telah memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD) dari universiti of Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang undang undang harta islam.

Beliau juga aktif dalam pembentangan kertas kerja dalam forum, seminar dan konferens sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di dalam dan di luar negara dalam bidang wakaf, zakat, usul fiqh dan pengajian tradisional dan telah menghasilkan beberapa penulisan ilmiah dalam jurnal jurnal dan prosiding prosiding di dalam dan luar negara.

Walaupun masih bertugas di universiti Malaya kuala lumpur, beliau bersama adinda beliau Ustaz Hamdan meneruskan amanah Al Marhum Ayahandanya yang dikasihi untuk tanggungjawab kepimpinan pondok lubuk tapah selepas pemergiannya.

Antara sumbangan beliau selepas mengambil alih kepimpinan ialah beliau bersama dengan bonda beliau Hajjah Kamariah (ummi) dan Ustaz Hamdan sebagai pemenang amanah telah menubuhkan Akademi Tuan Guru Haji Abdullah Sdn Bhd, sebuah syarikat kebajikan sebagai entiti mencari dana untuk pondok dengan bantuan rakan korporat di samping memperkemaskan pentadbiran pondok demi memastikan kelangsungan pondok yang di anggap antara pondok tertua di Kelantan.

Kredit; Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri &  Helmi Assyafie

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*