Masjidilharam Pada Malam 27 Ramadhan; Pasti Ramai Yg SEB4K Tengok Foto Ni…

Beginilah suasana di Masjidilharam pada malam ke-27 Ramadan lepas. Sunyi daripada kelibat ribuan bahkan mungkin jutaan manusia. Sunyi daripada alunan suara jemaah mengaji al-Quran. Sunyi daripada bunyi jerit teriak kanak-kanak. Sunyi daripada batuk-batuk jemaah yang sudah uzur fizikalnya. Sunyi sepi.

Hanya petugas dan pekerja sahaja dibenarkan masuk dengan pantauan penuh rapi. Boleh jadi jumlah mereka mencapai seratus orang. Namun masih tidak mampu memenuhi luas dan besarnya masjid ini.

Saban tahun, jemaah pada bulan Ramadan berganda-ganda jumlahnya jika nak dibandingkan dengan bulan-bulan biasa. Jemaah pada 10 akhir Ramadan lebih berganda jumlahnya jika nak dibandingkan dengan 20 awal Ramadan.

Namun begitu, jumlah pada malam ke-27 Ramadan terlebih dan tersangatlah ramai jika nak dibandingkan dengan keseluruhan bulan.

Mereka dah bersiap sedia di Haramain dari petang lagi. Berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah. Solat isyak dan bertarawih. Kemudian disambung pula dengan tahajud. Ibadat lain seperti sembahyang sunat dan mengaji al-Quran memang menjadi fokus utama mereka tika ini.

Anak-anak kecil diajar oleh ibu bapa mereka untuk melayani jemaah lain sebaiknya. Diagihkan buah tamar, roti dan syai panas. Air zamzam diisi ke dalam gelas lalu diberikan kepada jemaah yang sedang gigih mengaji.

Semua berebut berbuat kebaikan pada malam itu. Malam yang sangat diharapkan berlakunya Lailatul Qadar. Turunnya para malaikat Tuhan membawa rahmat memenuhi segenap penjuru alam.

Takdirnya, tahun ini tiada lagi semua itu. Kita diuji dengan wabak virus bahaya ini. Seluruh dunia merasainya. Kita hanya mampu berkurung di kediaman masing-masing, bermohon merintih kepada Tuhan akan ujian ini yang melanda.

Kita patuh, kita pasrah, kita reda. Demi kebaikan bersama, demi keselamatan sejagat. Dalam perit menelan rasa, kita menahan air mata daripada menitik keluar.

Ya Rabb, demi sesungguhnya Engkau sajalah tempat kami berlindung. Jagalah kami, keluarga kami, negeri kami, negara kami umat kami daripada dibaham wabak bencana ini. Angkatlah kembali semuanya. Kami rindukan ibadat harian kami seperti dulu.

Kredit; Najmi Farisham

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*